Monday, August 6, 2007

ISNIN 6 Julai 2007 @ 2052

Hari cukup mencabar bagi aku yang bertugas P1C-PB. Kurang 10 minit menjelang siaran Warta 1 di Studio 3, bekalan elektrik ke sistem studio terputus. Apa lagi kelamkabutlah. Kira-kira lima minit sebelum siaran diputuskan supaya operasi dipindahkan ke Studio 4. Untuk membolehkan perpindahan operasi yang cemas dan amat mengejut itu konti memberi masa kira-kira 10 minit.

Dalam perpinahan itu timbul masalah menyambungkan siaran langsung dari Dialog Antarabangsa Langkawi di Langkawi yang memakan masa kira-kira 5 minit dengan 5 item dipancar dari sana.

Olehkerana terlalu lama menunggu maka siaran diteruskan juga pada jam 1310.00 dengan item biasa. Hanya pada item 8 barulah item headline 1 iaitu Langkawi dapat masuk. Banyak item digugurkan kerana seluruh siaran berita mesti tamat juga pada jam 1400.

-----

Pada masa yang sama rupa-rupanya perkhidmatan wires tidak bergerak sejak jam 0700 pagi. Naib baik aku siapkan sediakan skrip Warta 9 dan 10.

----

Hari ini berpuasa hari - Puasa Isnin.

2100

Friday, August 3, 2007

SABTU, 4 Ogos 2007 1116

Hari Sabtu. Tugas P1PB.

Pagi tadi semasa membelek semua roster yang telah dipinda aku terlihat nota kaki tentang waktu bekerja. Seingat aku waktu untuk P1 bermula jam 0600 dan boleh balik selepas jam 1400. Itu yang ditegaskan oleh Tok Wan dalam Perhimpunan pada 6 Julai. Tapi Yah bubuh waktunya 0700 hingga 1500. Pandai dialah tu. Inilah akibat peraturan semuanya lisan dan pentadbiran tidak ikut piawaian. Mula-mula aku nak komplen tetapi setelah berfikir aku tak jadi. Tok Wan kata dulu, kalau nak balik jam 1400 datanglah jam 0600. Aku berpegang dengan kenyataan itu.

Aku tetap ikut kenyataan awal iaitu P1 bermula jam 0600.

----

Hari ini semasa rehat mulai 1400 aku dan Yang menghadiri Majlis Perkahwinan anak Tuan Haji Othman Zainuddin dan Hajjah Mariamah Tijo di DBP. Waktu balik ikut kesesuaian dan kerja hanya setelah balik. Mungkin tak sampai enam jam sebelah petang ini. Tak apa demi kawan.

----

Tadi bayar sewa rumah (wawal kerana biasanya pada 6 hingga 8 hari bulan). Bila nak hantar wang kepada keluarga - waduh cash dah short - aku terlupa ambil kira potongan bank untuk akaun bulanan simpanan. Tak apa pada hari Isnin aku akan uruskan.

----

Malam tadi Yang uruskan klem dan dah siap. Esok akan dihantar kepada Siti, Insya Allah.

--
@1123.00

Thursday, August 2, 2007

JUMAAT 3 Ogos 2007 @ 0900

Pagi Jumaat, pagi diadakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan. Yang yang Off hari ini pergi juga ke perhimpunan itu. Maklum, bulan lepas senarai nama mereka yang tidak hadir atau hadir tapi tidak mengetit akan dipamerkan sebagai mereka yang tidak hadir. Lucunya senarai bulan lalu termasuk Ketua Pengarah dan pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan.

---

Malam tadi dicuba memasukkan catatan di laman ini tetapi masalah talian menyebabkan masukan itu akhirnya hilang begitu sahaja.

----

Hari ini antara lain tugas berat ialah menyiapkan Borang Klem Gaji Julai yang mesti dihantar sebelum 5 Ogos dan tugas membayar bil-bil.

----

Yang memberitahu esok, ketika aku kerja sepanjang hari dan dia off, sebenarnya hari majlis perkahwinan anak Tuan Haji Othman Zainuddin dan Hajjah Mariamah. Tengoklah apa yang aku boleh lakukan.

----

Hari ini Majlis Pecah Tanah dan Menentukan Arah Kiblat bagi Masjid Baru Angkasapuri akan berlangsung selepas Solat Jumaat.

----
0908

Tuesday, July 31, 2007

SELASA 31 Julai @ 1741

Sepagian bertugas bersama Haida dan Fathil. Fathil hanya datang selepas jam 1000. Warta sebelah pagi hanya Warta Jam 9, Warta 10 dan Warta Jam 1300 disiarkan itupun pada jam 1325, kerana siaran langsung pelancaran NCER dari Pulau Pinang.

Dalet bikan hal lagi. Selalu botol keluar dan lama-lama pula sehingga terputus hubungan dengan server. Ah macam biasalah Dalet tu. Memang kacau.

Monday, July 30, 2007

SELASA 31 Julai 2007 @ 1230.00

Hari ini seperti juga semalam. Warta Jam 11 dan 12 dibatalkan kerana siaran langsung dari Pulau Pinang, pelancaran NCER.

Aku juga meminta Haji Mus tandatangani borang permohonan aku untuk tiket balik kampung.

Hari ini tak puasa. Khamis baru puasa lagi.

Sunday, July 29, 2007

BAYAR BIL KK 39.7.2007

Antara jam 1000 hingga 1200 pagi ini tadi membayar:

MBf = RM150.00
Bank Islam: RM200.00
RHB: RM450.00

ISNIN 30 Julai 2007 @ 0935

Aku berada di rumah dan memulakan blog PEJAM CELIK. Dalam jadual asal aku bertugas pagi P1 tetapi Haida minta tukar tugas kerana ada masalah mengambil anaknya dari sekolah sebab suaminya ada tugas di luar stesen hari ini. Setelah merujuk kepada Siti selaku Ketua Meja pertukaran dibenarkan.

Wan Sendari yang tidak mengertahui pertukaran itu telah menghantar SMS meminta aku menghadiri Mesyuarat Pagi seperti biasa menggantikannya yang bertugas CS pagi ini. Memang biasa sebab dia berangkat dengan kereta api dari Seremban dan sampai di sini selepas jam 0900, sedangkan mesyuarat jam 0900 tepat. Ini salah satu masalah kemanusiaan yang sampai sekarang tidak selesai di pejabat. Patut jugal;ah Toh Wan terasa kebas sebelah badan dengan perangai anak buahnya.

Aku sebenarnya puasa hari ini - Puasa Isnin. Yang ajak berpuasa kerana dia nak bayar puasa tahun lalu agaknya. Kesian jua dia puasa sorang maka aku puasa jua. Lagi pun selain mengawal berat badan dan menjaga kesihatan, puasa memudahkan kehidupan kerana tak payah cari makan tengah hari.

Makan tengah hari ini atau disebut merarau cukup merumitkan kadang-kadang. Makanan di kantin sudah tidak lagi membuka selera. Hari-hari begitu aje. Lagi kini perut bukannya gagah macam dulu lagi. Terlalu banyak minyak tak boleh, terlalu pedas tak boleh, sikit masam pun tak boleh. Seharianlah menanggungnya.

Lagipun disebabkan waktu tugas aku dan Yang berbeza maka kadangkala timbul kerumitkan dan kon flik kecil. Nak makan di luar memakan masa lama dan kena macam-macam bayaran, seperti parking dan makanan pun tidak jauh bezanya daripada yang di kantin sebenarnya.

Hai begitulah selalu dikeluh oleh Yang. Masa miskin dulu ingin sangat nak makan sedap dan bila dah ada duit yang sedap tak boleh dimakan sangat kerana nak jaga badan. Atau yang sedap itu bukan lagi sedap kerana boleh menyakitkan dan menyusahkan.

* * *

Pagi ini tadi hujan renyai-renyai menyebabkan pakaian tak boleh disidai di verandah. Sampai sekarang pun masih ada dengut rengutnya kedengaran di atas atap zing lot leteka klereta di blok sebelah, walaupun dari Tingkat Lima blok ini.

PEMBUKAAN: DEMI MASA

Dalam bahasa Melayu ada frasa berbunyi pejam celik, pejam celik dah seminggu berlalu. Ini bererti hari demi hari berlalu tanpa kita ambil peduli, dan apabila sekali sekala sedar dan cuba menilai kembali masa dah berlalu.

Kita selalunya tidak berapa mengambil berat tentang masa berlalu, sebab itu ada frasa jam Melayu yang bermaksud, janji datang pukul 1200 mungkin muncul pukul 1300 atau seawal-awalnya 1230. Ini terbawa-bawa kepada urusan rasmi seperti mesyuarat atau majlis-majlis rasmi.

Pengamal budaya ini memang kadangkala berkata pejam celik, pejam celik dah habis seminggu.

Satu aspek lagi ialah pengamal budaya pejam celik sering tidak ambil peduli apa yang dilalui atau dialami hari-hari. Besar kecil peristiwa dibiarkan berlalu sehingga pada hujung minggu sudah lupa akan segala peristiwa sepanjang minggu dan pada hujung tahun, lupa akan segala yang dialami sepanjang tahun.

Hidup menjadi rutin dan membosankan dan sekali gus tidak berkembang langsung. Tahu-tahu usia sudah meninggal dan kalau berkhidmat dengan kerajaan dah dipencenkan pada tahap mula masuk kerja.

Blog PEJAM CELIK ini merupakan catatan hari-hari yang dilalui, dan lebih merupakan catatan peribadi atau diari peribadi, untuk mengabadikan segala pengalaman mulai hari ini supaya dapat dilihat warna dan rupanya setelah laluan waktu. Dengan itu segalanya adalah peribadi untuk tujuan peribadi sahaja bukan untuk digunakan di mana-mana oleh mana-mana orang lain.

Saiee Driss
Kuala Lumpur
30 Julai 2007