Monday, April 26, 2010

BELANJA SEHARIAN



Perit juga jadi ketua keluarga di Kuching kalau hendak mengekalkan corak kehidupan semasa masih berkhidmat dulu. Belanjanya cukup besar terutama dalam tempoh transisi di antara jadi pesara yang masih bekerja dengan anak-anak sedang meningkat dewasa dan seorang demi seorang meninggalkan rumah kerana memiliki rumah sendiri.

Anak sulung dah menyertai keluarga isterinya keturunan Jawa di Batu Pahat, Johor. Dah tiga orang cucuku di sana. Dang Sinaruhani yang panggilan manajnya Puteri (satu-satunya puteriku) dah berkeluarga dan ada rumah sendiri di Semariang Baru selain berulang alik ke rumah mertuanya di Kampung Mang.

Mas Amir Abiddun yang nama panggilan Jojo baru dapat membeli rumah di kawasan E-Mart di Matang Jaya. Besar rumahnya. Selepas sahaja persandingannya pada 6 Jun 2010 akan terus menetap di situ dengan isterinya. Cikgu Mas Adi Hidayat yang panggilan di rumahnya Cikgu Genit atau Abang Genit dah beli rumah di Taman Synergy. Hampir sama dengan rumah Jojo tetapi dua tingkat sedang rumah Jojo setingkat. Tinggal dengan aku nanti hanyalah Adib (Mas Adib Zahiruddin)dan Johan(Mas Ammar Azhan) bersama neneknya.

Rumah sebesar itu yang dulunya tempat tinggal berbelas orang dari tiga keluarga kini dihuni hanya oleh enam orang. Adikku Tipah dah ada rumah sendiri setelah tinggal bersama keluargaku sejak berpindah ke Kuching (aku bawa ke Kuching) dalam tahun 1975.

Kalau dulu belanja rumah ditanggung ramai-ramai, terutama oleh keluarga Tipah kerana untuk sepuluh tahun aku dan isterinya berpindah ke Sibu kemudiannya ke Kuala Lumpur.
Kini siapa lagi kalau bukan aku dan isteriku. Bila anak-anak ada rumah sendiri kurang juga wang mereka untuk membantu menyenggara rumah ini.

Kini aku kena keluarkan sekitar RM4,500.00 sebagai kos asas dan akan berusaha mengurangkannya.

No comments: