Tak tahu bagaimana nak jawab soalan itu. Yang bertanya adalah mereka yang rapat dan tidak berapa rapat dengan diriku yang mahu tahu apakah selepas bersara aku masih menulis.
Nak dikata aku masih menulis memang tidak banyak karyaku terbit di media. Tidak seperti dulu. Tapi aku banyak menghasilkan kertas kerja dan makalah untuk dibentangkan di seminar dan majlis diskusi. Baru bulan lepas bentangkan kertas kerja mengenai lagu rakyat di Simposium Lagu Rakyat Melayu Sarawak untuk IPT di UiTM. Kini aku sedang menyiapkan kertas kerja pula Seminar sempena 25 Tahun Bahas Piala Ketua Menteri dan akan dibentangkan di Miri pada 10 Mei, di Sibu pada 12 dan di Kuching pada 20 Mei.
Sesiapa yang biasa menulis kertas kerja tahu kerja itu bukan mudah kerana perlu mencari data dan fakta dan membuat penyelidikan kecil-kecilan di sana sini. Maka aku namakan itu menulis juga.
Selain itu aku ada blog dan laman Facebook, Twitter dan Tagged. Facebook banyak sekali menuntut waktu untuk menulis entri dan membalas entri, baik untuk laman Profil atau laman grup Seloka Pantun Bersama Saiee Driss. Bagiku itu menulis juga namanya. Dalam pada itu aku juga banyak menulis dan menyusun bahan penerbitan di pejabat di BPPMIS dan kini dilantik menjadi panel editor Jurnal Majlis Islam Sarawak. Pun itu diistilah juga sebagai terlibat di dalam kerja penulisan.
Masih menulis lagi?

No comments:
Post a Comment